Saya melihat masih ramai majikan yang masih tidak memahami keperluan undang-undang yang mensyaratkan setiap majikan untuk mencarum EPF dan SOCSO ke atas setiap pekerja mereka.

Malah ada saya dapati terdapat syarikat-syarikat terkenal di Malaysia ini yang cuba mengelak dari membayar caruman EPF dan SOCSO kepada pekerja mereka seperti mutawwif-mutawwif di syarikat travel umrah atas alasan kontrak perkhidmatan mutawwif ini adalah bersifat kontrak.

Ini adalah salah faham yang sepatutnya tidak berlaku kepada syarikat-syarikat terkenal ini.

Definisi pekerja mengikut Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 jelas menyatakan seorang pekerja itu adalah seorang yang bekerja dengan majikan tidak mengira samada mempunyai kontrak perkhidmatan atau tidak, dan sekiranya mempunyai kontrak perkhidmatan, ia tidak mengira status jawatan itu tetap atau kontrak atau sambilan atau separuh masa. Semuanya dianggap sebagai pekerja dan majikan perlu mencarum tanpa alasan. Perkara ini juga sama untuk caruman SOCSO.

Ringkasnya, majikan perlu membayar caruman bagi setiap orang yang memberikan perkhidmatan mereka kepada majikan tidak kira apa status jawatan tersebut dan tidak mengira samada pekerja tersebut diberi kontrak perkhidmatan atau tidak. Dalam hal ini, seorang yang melakukan praktikal/ latihan industri juga dianggap sebagai pekerja.

Bagi EPF, kegagalan majikan mencarum dan memotong gaji pekerja untuk dicarum ke dalam EPF merupakan satu kesalahan sivil dan jenayah.

Majikan yang tidak mencarum boleh didakwa di bawah Seksyen 43(2) Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 dan boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM10K atau kedua-duanya sekali.

Selain dari itu, majikan juga pada masa yang sama tindakan jenayah di atas diambil, boleh di saman oleh EPF di bawah Seksyen 65(1) Akta yang sama, di mana EPF berhak menuntut setiap tunggakan caruman dari majikan dan mengenakan faedah dan dividen dari majikan.

Dalam perkara ini, sekiranya majikan tersebut adalah syarikat, setiap pengarah syarikat adalah bersesama dan berasingan (jointly and severally liable) dengan syarikat untuk membayar hutang tersebut.

Jadi, kepada majikan, jangan ingat anda adalah sebuah syarikat, terma “separate legal entity” adalah terpakai di sini, dan pengarah- pengarah boleh berlindung tanpa perlu membayar epf pekerja.

Di bawah akta EPF, setiap pengarah syarikat adalah wajib menanggung rugi setiap hutang syarikat dan anda sebagai pengarah boleh dibankrupkan disebabkan syarikat anda tidak membayar caruman epf pekerja.

Prinsip yang sama juga terpakai bagi Akta SOCSO ( Akta Keselamatan Sosial 1991) di mana setiap pengarah syarikat adalah bertanggungan bersama sama dengan syarikat secara joint and severally liable untuk setiap hutang syarikat di bawah peruntukan Seksyen 95, Seksyen 108A dan Seksyen 109 dan pengarah syarikat boleh di dakwa untuk pertuduhan jenayah dan di saman sebagai hutang sivil.

Bagi kes pendakwaan gagal mencarum socso, setiap majikan dan pengarah boleh dihukum penjara tidak melebihi 2 tahun atau denda tidak melebihi RM10K atau kedua-duanya sekali bagi satu pertuduhan.

Bagi kes pekerja kontrak, majikan tetap perlu membayar EPF dan SOCSO tidak mengira samada kontrak perkhidmatan itu dibuat secara bertulis, lisan, nyata atau tersirat.

Janganlah ada majikan di Malaysia ini memotong caruman epf dan socso pekerja disebabkan terdapat PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN yang kita sedang jalani sekarang….